Monday 13 February 2012

Solat - kunci kejayaan.

Perkongsian oleh Ustaz Wan Ali Akbar.

SOLAT, adalah antara cara manusia mengabdikan diri kepada Allah swt. Ia penting kepada manusia sebagai hamba, kerana ia menghubungkan manusia dengan penciptanya. Ia juga adalah ibadah pertama yang dihisab di hari akhirat.

Melalui solat, manusia boleh berjaya. Melaluinya juga, manusia boleh dicelakakan. Kata kuncinya adalah khusyu'. Jika manusia bersolat dengan khusyu', maka mereka akan berjaya. Sebaliknya, jika mereka bersolat dalam keadaan yang lalai, maka kecelakaan menanti mereka.

Belajar 13 rukun solat (atau sesetengah pendapat mengatakan 17 rukun), boleh dinilai oleh manusia dari segi praktis, bacaan dan hafazan. Ia zahir di mata dan pancaindera manusia. Namun, di sisi Allah, bukan itu yang dinilai. Kerana, solat dilaksanakan dengan kemampuan. Kerana itu, ada rukhsah (kemudahan), sepertimana ajaran Rasulullah saw, mengajarkan Solat Qasar ketika musafir, Solat Jama' ketika masyaqqah (kesusahan) dan kaedah solat ketika sakit bagi orang yang kekurangan keupayaan.

Yang lebih utama bagi Allah, adalah hati. Dengan menjaga hati, manusia boleh solat dengan khusyu'. Sebaliknya, jika hati tidak dijaga, kekhusyukan solat tidak dapat dijaga. Itu yang berlaku kepada kebanyakan kita. Sehingga, solat yang dilaksanakan tidak dapat mencegah yang keji dan mungkar. Walaupun ia dilaksanakan cukup 5 kali sehari semalam.

Khusyu' itu sangat mahal. Ia sangat sukar diperolehi. Oleh itu, ulama' menggariskan beberapa tip untuk mendapatkannya, antaranya; jaga kebersihan tempat solat, berpakaian bersih, serta menumpukan fikiran hanya kepada Allah.

Mari sama-sama kita bermuhasabah wahai sahabat. Berapa jam kita habiskan untuk kehidupan dunia. Berapa banyak pula masa kita habiskan untuk kehidupan akhirat?

Dalam kesibukan kita bekerja, luangkan sedikit masa untuk akhirat. Kurangkan bercakap yang sia-sia sebagai persediaan solat. Banyakkan zikir kepada Allah dan selawat ke atas Nabi saw. Putuskan rantaian hati kita buat seketika dengan kehidupan dunia. Insya'Allah kita akan mendapat khusyu'. Percayalah wahai sahabat, hanya orang yang mendapat khusyu', akan merasai kemanisan iman dan ibadah kepada Allah swt. Moga kita semua dikurniakan Allah nikmat khusyu' dalam solat. Wallahu'alam.

Source: FB Sham Kamikaze.

No comments:

Post a Comment